Saturday, May 21, 2005

Fitnah untuk mengaitkan sekolah agama kendali latihan senjata ala Al-Qaeda

BANGKOK 20 Mei - Pelajar di sebuah sekolah agama persendirian di wilayah Pattani mengaku latihan pengendalian senjata diadakan di sekolah tersebut tetapi menafikan pembabitan mereka.

Askar daripada Pasukan Petugas ke-22 melancarkan serbuan di sekolah Jihad Witthaya di kampung Ban Taloh Kapo, daerah Yaring semalam.

Mereka menemui beberapa cakera padat (CD) yang menunjukkan latihan senjata ala Al-Qaeda dan beberapa dokumen tulisan Arab.

Empat pelajar dibawa ke balai polis daerah untuk disoal siasat.

"Beberapa pelajar mengaku latihan senjata diadakan di sekolah itu, tetapi menegaskan mereka sendiri tidak terlibat dengan kegiatan berkenaan," kata komander pasukan petugas, Kolonel Chatuporn Kalampasut.

Askar juga merampas buku panduan yang ditulis dalam bahasa Thai mengenai cara memantau dan mengekori anggota pasukan keselamatan.

Serbuan terhadap sekolah itu dilakukan berikutan penangkapan dua lelaki yang disyaki terlibat dengan serangan di 36 tempat di lapan daerah di Pattani pada 15 Mei lalu.

Mama Sa-i, 32, dari daerah Panare dan Sohor Paoji, 28, dari daerah Mayo ditangkap di Pattani.

Sebotol petrol bercampur baja urea dan secebis kain dibasahi petrol ditemui pada diri mereka.

Pengakuan suspek berkenaan membawa kepada serbuan terhadap sekolah Jihad Witthaya.

Chatuporn percaya sekolah itu terlibat dalam rangkaian yang mencetuskan kekacauan di selatan Thai.

"Sekolah itu pastinya ada kaitan dengan rangkaian pemisah yang mencetuskan kekacauan di selatan.

"Pemilik sekolah, Dulloh Waemano, 55, mengetuai rangkaian itu. Tetapi dia dapat melarikan diri. Kami mengesyaki dia bersembunyi di sebuah negara jiran," katanya. - Agensi

1 comment:

Anonymous said...

Cool blog, interesting information... Keep it UP »