Sunday, May 08, 2005

Tiga ditembak mati di selatan Thai

BANGKOK 7 Mei - Tiga rakyat tempatan mati ditembak oleh puak pemisah dalam tiga kejadian berasingan di selatan Thailand, kata polis hari ini.

Dalam kejadian hari ini, seorang penolong ketua kampung di daerah Raman, Yala, Sagareeya Pataru, 52, dilaporkan ditembak di kediamannya di Kampung Nernngarm sejurus selepas pulang menjaga sebuah sekolah.

"Beliau disahkan mati di Hospital Yala tiga jam selepas ditembak dan anggota puak pemisah turut merampas senapangnya," kata seorang pegawai polis kepada AFP.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang terkorban dua hari lepas ialah Marusata Kuesoh, iaitu sukarelawan kesihatan awam di daerah Thung Yang Daeng, Pattani.

Mangsa ketiga yang merupakan seorang pegawai tempatan, Thawee Jaiboon, 31, turut ditembak semalam ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Lebih 660 orang terbunuh sejak puak pemisah memberontak di selatan Thailand sejak Januari tahun lepas. - AFP

No comments: