Saturday, May 21, 2005

Wan Kadir dibenar pulang bantu proses damai

BANGKOK 20 Mei - Pegawai keselamatan di selatan Thailand menyambut baik cadangan supaya pemimpin pemisah Islam, Wan Kadir Che Man dibenarkan pulang ke tanah air untuk membantu proses perdamaian.

Bagaimanapun beberapa pegawai lain berkata, Wan Kadir mungkin menempah maut jika beliau pulang kerana tindakan itu mungkin dilihat sebagai berpaling tadah.

Beliau kini menjalani kehidupan dalam buangan di Sweden.

Kerajaan bagaimanapun masih membisu mengenai kemungkinan Wan Kadir dibenarkan balik ke Thailand tetapi sumber rasmi menyatakan, sokongan terhadap kepulangannya dipercayai semakin meningkat.

Timbalan komander Wilayah Polis Ke-9, Mejar Jeneral Thani Thawidsri berkata, kepulangan beliau sekurang-kurangnya akan menghantar mesej kepada masyarakat antarabangsa bahawa Thailand sedang mengusahakan perdamaian dan cuba mendapat kepercayaan umat Islam di selatan.

``Kami ingin melihat beliau bekerjasama dengan kerajaan bagi mewujudkan perdamaian di rantau ini,'' kata Thani.

Bagaimanapun seorang pegawai kanan tentera di selatan Thai berkata, kepulangan Wan Kadir tidak akan menyelesaikan seluruh masalah yang sedia ada.

Katanya, anak kelahiran Pattani itu tidak pernah mengawal puak pemisah secara langsung, termasuk ketika kemuncak pergerakan pemisah itu 20 tahun lalu.

Ketika itu, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) dan Barisan Revolusi Nasional bertempur dengan askar kerajaan di dalam hutan.

Menurut pegawai itu, kini generasi baru pejuang pemisah berasal dari selatan Thai dan menjadi sebahagian penduduk tempatan.

Memandangkan Wan Kadir telah tinggal di luar negara hampir 20 tahun, golongan muda di rantau ini tidak kenal siapa beliau.

Beliau mungkin dilihat sebagai pengkhianat oleh golongan pemisah di luar negara atau pemisah tempatan yang mahu meneruskan kempen gerila mereka, katanya. - Agensi

1 comment:

Anonymous said...

What a great site » » »