(Laporan Utusan Malaysia 19 Mei)
Tidak benar tahanan ISA didera seperti di Abu Ghraib: PM
"PUTRAJAYA 18 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menegaskan bahawa dakwaan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) didera seperti tahanan di penjara Abu Ghraib, Iraq adalah tidak benar sama sekali.
Perdana Menteri yang menyifatkan dakwaan itu sebagai `nakal' berkata, mereka yang membuat dakwaan itu tidak sepatutnya membuat tuduhan sesuka hati, sebaliknya wajar memberi bukti-bukti kukuh kepada kerajaan untuk diambil tindakan sekiranya ia benar-benar berlaku.
"Setakat ini saya tak pernah dengar apa-apa yang spesifik seperti kekejaman yang berlaku di Abu Ghraib, tidak ada dan saya berani kata tidak akan berlaku penderaan tahanan seperti yang berlaku di sana."
"Tentulah tuduhan itu tuduhan yang berat tetapi itu bukanlah sesuatu yang kita lakukan."
"Tetapi kalau mereka ada sesuatu yang spesifik, yang mereka benar-benar tahu, cakaplah betul-betul dan tidak payahlah buat tuduhan rambang kerana kita pun sukar hendak ambil tindakan," tegasnya.
Apabila saya membaca berita ini saya ingin ketawa terbahak-bahak (atau sebenarnya saya ingin meratap menangis). Dari dulu lagi saya telah menulis dan menyatakan dalam affidavit saya: '..kalau sesiapa mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa tahanan ISA tidak didera samalah seperti mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa Nabi Muhamad makan babi..' ( sila baca affidavit Hishamuddin Rais dalam kes mala fide).
Kisah penderaan tahanan ISA no 39/01 untuk tatapan Pak Lah
Hishamuddin Rais
2:25:47 PM May 21, 2004
Diculik dari pejabat
Saya, Hishamuddin Rais tahanan no 39/01 telah ditahan selama 55 hari dibawah ISA, sebelum di hantar ke Kamunting untuk ditahan selama dua tahun. Saya ingin menyatakan secara terbuka kepada PM Abdullah Badawi bahawa Nabi Muhamad tidak makan babi kerana babi haram dalam Islam. Dan saya juga ingin menyatakan secara terbuka kepada Abdullah Badawi bahawa banyak/ramai tahanan-tahanan ISA telah dan sedang didera. Khalas, fini, fin, end, stop dan noktah.
Apabila saya ditangkap (baca: saya diculik dari pejabat saya di Bangsar Utama) pada petang 10 April 2001, pasti Abdullah Badawi yang ketika itu timbalan Menteri Dalam Negeri tahu apa yang akan dilakukan ke atas kami. Jika Abdullah Badawi terus mengatakan bahawa beliau tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada kami, maka terbukti sahih desas desus yang tersebar luas yang sering mempertikai daya fikrah Abdullah Badawi.
Dan apabila Abdullah Badawi meminta bukti spesifik tentang penderaan tahanan, sekali lagi saya hendak terkentut. Apakah Perdana Menteri Malaysia yang baru ini seekor manusia atau malaikat. Jika malaikat pasti bukan tugasnya untuk membaca. Jika Abdullah Badawi seorang manusia dan bertugas sebagai Menteri Dalam Negeri kenapa dia tidak membaca semua laporan-laporan polis, memo-memo dari badan-badan hak asasi dan affidavit-affidavit dari kami yang telah ditahan dibawah ISA. (Tak kan nak makan gaji buto - bueklaa kojo).
Apakah Abdullah Badawi lupa atau sengaja hendak melupakan fakta bahawa Anwar Ibrahim semasa di belasah oleh Rahim Noor, dia sedang ditahan di bawah ISA. Jika ini tidak disedari oleh Abdullah Badawi sebagai satu kes spesifik, maka saya mencadangkan agar Abdullah Badawi dengan seberapa segera dibawa ke wad lima hospital Universiti Malaya untuk di rawat. Jika tidak dibawa segera ke wad lima, berkemungkinan beliau akan memudaratkan 22 juta rakyat Malaysia.
Dari Bangsar Utama saya telah dibawa ke Rumah Pasong Sentul. Di sini mata saya telah ditutup dan saya telah digari. Kemudian saya terus dimasukkan ke dalam sebuah van kecil yang gelap. Saya terus dibawa berligar-ligar selama lebih kurang 45 minit. Akhirnya saya sampai ke satu tempat rahsia. Dari apa yang saya ketahui kemudianya, kawasan tahanan ini telah dirahsiakan dibawah Akta Rahsia Kerajaan.
Saya diseret masuk ke sebuah bilik dan ditelanjangkan. Ada empat orang pegawai dalam bilik ini. Saya berbogel dan punai saya diperlihatkan secara terbuka. Untuk saya, ini tidak banyak berbeza dari apa yang telah dan sedang berlaku di Abu Gharib.
Apakah semasa saya ditelanjangkan itu, pegawai-pegawai yang bertugas hanya ingin melihat kejantanan saya atau ingin mengesahkan bahawa saya ialah Hishamuddin Rais dan bukan Siti Hashimah Rais. Atau ingin mendapat kepastian bahawa saya ini telah bersunat dan tidak kulup lagi.
Kemudian saya dimasukkan ke dalam sebuah bilik kecil tanpa tingkap. Bilik kecil ini hanya ada satu lubang kecil bertabir besi. Pegawai yang menjaga saya akan membuka tabir besi setiap 15 minit untuk melihat saya. Dari lubang kecil ini jugalah saya menerima makanan.
Esoknya, pada 11 April 2001, proses 'soalsiasat' bermula. Saya ditanya dan disoal tanpa henti-henti. Soalan-soalan bodoh yang tidak ada sangkut paut dengan keselamatan negara - tidak ada bersangkutan dengan bom, rocket launcher atau molotov cocktail - terus menerus diajukan kepada saya. Saya diancam, digertak dan ditakut-takutkan.
Melalui tulisan ini, saya ingin bertanya kepada PM Abdullah Badawi tentang satu soalan yang akan terus menjadi satu tandatanya dalam hidup saya. Soalan ini mungkin dibaca lucah dan mungkin dianggap lawak. Terpulang. Untuk diri saya yang menerima soalan ini - saya anggap soalan ini adalah soalan akhir kurun.
Latarbelakang soalannya begini: Tan Sri Samad Ismail semasa ditahan dan disiasat di bawah ISA pada tahun 1977 telah mengakui bahawa beliau telah meniduri banyak gadis-gadis. Jika dikumpulkan bulu ***** gadis-gadis ini pasti boleh memenuhi tiga gelanggang badminton.
Soalan bodoh
Manakala saya pula yang telah tinggal lama di Eropah pasti telah meniduri ramai gadis-gadis Mat Salleh. Maka pegawai penyiasat ingin mengetahui berapa banyak ***** Mat Salleh yang telah saya kecapi. Dan kalau bulu-bulu ***** mereka ini dikumpulkan apakah ianya akan memenuhi satu, dua atau tiga gelanggang badminton?
Soalan cepu emas saya kepada Abdullah Badawi ialah: Apa sangkut pautnya ***** Mat Salleh dan bulu-bulu ***** mereka ke atas keselamatan negara Malaysia ? (sila lihat affidavit Hishamuddin Rais dalam kes mala fide).
Ini hanyalah satu contoh dari ratusan soalan-soalan bodoh yang diajukan kepada saya hari demi hari. Mungkin ada yang akan berhujah dan menganjurkan bahawa soalan-soalan seperti ini tidak perlu dijawab. Betul, jika soalan bodoh seperti ini muncul dalam suasana yang berbeza. Tetapi apabila saya didalam sebuah bilik berhadapan dengan empat lima orang manusia yang tidak saya kenali dan terus diancam, maka soalan yang dimunculkan ini adalah satu penyeksaan.
Bagaimana pula tentang sumpah seranah yang saya terima saban hari. Sumpah seranah yang tidak putus-putus dihamburkan ke muka saya. Apakah pendapat Abdullah Badawi jika saya menangkap Datin Hindun kerana saya tidak menyukai potongan feshen rambutnya. Saya anggap feshen rambut Datin Hindun mengancam selera estetika saya..
Kerana itu, Datin Hindun akan saya kurung di dalam sebuah bilik kecil. Jika saya kekurangan tenaga saya akan menjemput tiga atau empat orang kawan-kawan saya untuk membantu saya. Lapan jam sehari saya, tujuh hari seminggu kami akan memaki hamun Datin Hindun sesuka hati kami. Saya lakukan ini selama 55 hari sehinggalah Datin Hindun bersetuju untuk menukar feshen rambutnya.
(Pasti semua rakyat Malaysia akan menganggap saya gila. Tapi inilah yang sebenarnya telah berlaku semasa saya ditahan selama 55 hari sebelum dihantar ke Kamunting).
Tabir besi
Saya juga ingin bertanya kenapa saya perlu tidur di atas pangkin yang keras? Kenapa saya tidak memakai selipar pengalas kaki? Kenapa saya tidak memiliki tuala mandi. Kenapa saya digari? Kenapa mata saya ditutup? Kenapa setiap 15 minit tabir besi berbunyi dan mengganggu tidur saya? Kenapa saya dinafikan tidur? Semua ini adalah soalan-soalan yang ingin saya ajukan kepada Abdullah Badawi.
Mengikut Socrates, manusia akan dianggap bodoh jika dianya tidak tahu yang dirinya bebal. Insan yang bodoh tetapi menyedari kebebalannya sebenarnya adalah insan yang bijaksana. Justeru, untuk saya, satu pekara yang amat menyeksa dalam hidup ini inilah bercampurgaul dengan manusia-manusia bebal yang tidak menyedari kebebalan mereka.
Semasa dalam tahanan ISA saya tidak memiliki kebebasan untuk membuat pilihan. Saya telah dipaksa selama 55 hari untuk terus berhadapan dengan enam atau tujuh orang manusia-manusia bebal, lagi membebalkan. Mereka ini adalah pegawai penyiasat yang saya tidak ketahui nama mereka. Saya tidak mengetahui latarbelakang pembelajaran mereka. Tetapi ini tidak penting.
Apa yang membuktikan kebodohan bukan tangga pembelajaran mereka tetapi kegagalan otak mereka untuk berfikir bahawa 'soalsiasat dan soalan-soalan' yang mereka ajukan kepada kami itu adalah bodoh. Tidak ada satu perkara pun yang mereka siasat. Kami bukan disiasat tetapi didera dan dipaksa untuk mengakui apa saja yang ingin mereka dengar sebelum dihantar ke Kamunting.
Dalam kes Abu Ghraib, soldadu wanita yang akan di hadapkan ke mahkamah tentera tidak lama lagi ialah Ms Lynndie England. Ms England dianggap 'white trash' yang sanggup membuat kerja-kerja bodoh untuk tuan politiknya. Tuan-tuan politik ini adalah pemodal-pemodal antarabangsa yang akan meraih keuntungan dari lombong-lombong minyak di Iraq.
Manakala pegawai-pegawai yang menyoal saya selama 55 hari tersebut saya anggap mereka sebagai ' human trash'. Kerana saya tidak memiliki pilihan. Kerana saya ditahan. Kerana saya digari. Kerana mata saya ditutup. Kerana saya dalam kurungan maka saya sanggup untuk berhadapan dengan 'human trash' ini.
Penghinaan
Kesanggupan saya telah melintasi garis lima minit kesabaran intelek saya. Dalam suasana hidup bebas, sampai hari kiamat pun saya tidak akan ingin bersua, berbincang atau berkongsi meja dengan 'human trash' ini.
Mungkin ada yang akan menganggap saya angkuh. Tetapi, jika sesiapa yang telah bertemu dengan 'human trash' ini akan menyedari dan akan bersimpati dengan apa yang saya cuba paparkan. Bertemu, bercakap dan disoal oleh 'human trash' ini adalah deraan yang amat-amat mengaibkan. Deraan bentuk ini adalah satu penghinaan terhadap wujudiah saya sebagai seorang insan di Bumi Manusia ini.
Kenyataan saya ini bukan nakal. Apa yang saya tulis ini telah terjadi dan telah saya alami. Tuduhan saya ini tidak berat dan tidak ringan. Tidak ada apa yang berat dan tidak ada apa yang ringan. Apa yang saya tuliskan di sini adalah fakta. Apa yang ingin saya sebarkan kepada orang ramai ialah kenyataan bahawa tahanan-tahanan ISA didera dan diseksa.
ISA adalah undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa pembicaraan. Ini salah. Jika ada tuduhan terhadap saya sila bawa saya ke mahkamah. Kenapa saya TIDAK dibicarakan dan dituduh secara terbuka. Nyatakan apa yang telah saya lakukan yang memudaratkan keselamatan dalam negara? Bagaimana saya boleh mengancam negara?
Saya akan terus menolak apa sahaja hujah yang cuba menghalalkan ISA. Apa sahaja hujah yang cuba menghalalkan ISA ini adalah hujah-hujah pengganas yang bercita-cita untuk mendera dan mengganasi pihak yang di tahan.
Ditahan tanpa pembicaraan adalah deraan dan seksaan. Dikurung di Abu Ghraib atau dikurung di Bukit Gharib kedua-duanya adalah sama. Ditahan selama sehari atau seribu hari tanpa pembicaraan adalah penderaaan. Di tempeleng sekali atau ditempeleng seratus kali pun - tempeleng tetap tempeleng dan tetap satu penderaan
Abdullah Badawi! Sila nyatakan secara terbuka kepada saya, Hishamuddian Rais, tahanan no39/01, kenapa saya didera selama 55 hari? Kenapa saya terus didera dan ditahan selama dua tahun di Kamunting? Surat arahan saya ditangkap pada 10 April 2001 ditandatangani oleh Abdullah Badawi.
Surat arahan saya dihantar ke Kamunting telah juga ditandatangani oleh Abdullah Badawi. Apakah manusia yang bernama Abdullah Badawi ini juga yang telah berlawak mengatakan tidak ada deraan ke atas tahanan ISA?
Source : Malaysian Forum
Anybody need translation, just ask me.
No comments:
Post a Comment