Monday, July 05, 2004

Kewujudan orang berhijab buat dosa bukan alasan tinggalkan kewajipan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Memakai tudung adalah satu kewajiban berhijab dalam Islam bagi wanita
yang telah baligh. Hukum ini tiada perselisihan disisi semua ulama
daripada keempat-empat mazhab. Ini berdasarkan firman Allah swt dalam
ayat 59 Al-Ahzab dan ayat 31 An- Nur.

Seseorang itu boleh bertudung, tetapi masih melanggar aturan berhijab
seperti memakai pakaian ketat atau mendedahkan anggota tubuh yang lain.

Ulama daripada keempat-empat mazhab juga bersepakat bahawa minimum
anggota tubuh yang perlu dihijab (tutup) ialah seluruh tubuh kecuali
muka dan tapak tangan. Bagaimana bentuk atau fesyen bagi menutup tubuh,
terserah kepada keadaan dan budaya asal sahaja ia memenuhi syarat
berhijab. Sila rujuk syarat-syarat hijab yang sempurna dalam buku Halal
dan Haram Dalam Islam oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

Meninggalkan kewajipan berhijab/memakai tudung adalah berdosa.
Mengingkarinya atau mengejek orang yang memakai hijab pula boleh
merosakkan akidah kerana mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan
dalam Al-Quran dan mengejek-ejek amalan agama.

Allah swt berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya Allah telah
mengharamkan keduanya (air dan makanan syurga) daripada orang-orang
kafir. (Iaitu) Mereka yg menjadikan agama mereka sebagai main-main dan
senda gurau dan kehidupan telah menipu mereka...."
(Al-A'araad:50-51).

Bagaimanapun, berhijab adalah salah satu kewajiban daripada banyak
kewajipan dalam islam. Berhijab atau tidak berhijab semata-mata tidak
menjamin seorang itu masuk syurga atau neraka.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya salah seorang
daripada kamu mengamalkan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak
antaranya dan antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu
atasnya ketentuan kitab (qadha dan qadar), lalu ia pun mengerjakan
dengan amal ahli neraka, maka masuklah dia kedalamnya. Dan sesungguhnya
salah seorang daripada kamu mengamalkan amalan ahli neraka sehingga
tidak ada jarak antaranya dan antara neraka melainkan sehasta, kemudian
terdahulu atasnya ketentuan kitab (qadha dan qadar), lalu ia pun
mengerjakan dgn amal ahli syurga, maka masuklah dia kedalamnya."

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Seorang itu jika ia sentiasa menjaga akhlaknya serta hatinya daripada
sifat-sifat keji, tetapi meninggalkan hijab, ia akan mendapat pahala
bagi kebaikan yang ia lakukan dan mendapat dosa kerana meninggalkan
hijab dan kewajipan lain, jika ada.

Di akhirat nanti, setiap kita akan dihisab oleh Allah atas seluruh amal
kita. Jika seorang wanita berhijab, tetapi dosa-dosanya yang lain
memberatkan timbangan dosa, ia akan dicampakkan ke neraka dan wanita
yang tidak berhijab walaupun berdosa, tetapi amal kebajikannya lebih
berat daripada dosa, ia akan masuk kesyurga. Hakikat ini boleh
diperlajari dari hadis Rasulullah saw yang menceritakan seorang pelacur
dimasukkan syurga kerana menyelamatkan seekor anjing yang kehausan.

Bagaimanapun, mereka yang mengatakan sedemikian sebenarnya tidak sedar
bahawa keengganannya untuk memakai hijab menunjukkan kewujudan unsur-
unsur tidak baik dalam hatinya. Hakikatnya seseorang itu tidak mahu
berhijab, memberi petanda bahawa dalam hatinya ada keingkaran/tidak
reda terhadap hukum Allah atau kelemahan untuk melawan rasa malu atau
tekanan persekitaran dan kehedak nafsu untuk berhias atau ego diri.

Kewujudan wanita yang berhijab, tetapi melakukan dosa-dosa lain tidak
boleh menjadi alasan bagi seorang wanita meninggalkan kewajipan
berhijab atas alasan 'yang penting hati mahu baik'. Jika alasan ini
boleh diterima, maka manusia akan mempunyai alasan bagi meninggalkan
semua kewajipan agama.

Setiap kita haruslah mengetahui apakah kewajipan-kewajipan agama yang
perlu ditunaikan dan berusaha untuk menunaikannya tanpa melihat
perbuatan atau kecacatan orang lain kerana kita dihisab oleh Allah swt
atas perbuatan kita sendiri bukan atas perbuatan orang lain. Allah
berfirman, "Dan bahawasanya seorang manusia itu tidak memperolehi
(pahala atau dosa) melainkan apa yang diusahakannya."
(An-Naj:39).

Bagi wanita-wanita yang memakai hijab dan dikatakan sedemikian,
hendaklah bersabar, berusaha memuhasabah diri atas kritikan yang dibuat
dan tidak pula menghukum wanita yang mengatakan sedemikian dgn kafir,
jahil dan cercaan lain. Allah mengajar umat Islam dalam firmannya, "Dan
hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang
berjalan dimuka bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa
mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik,"
(Al-Furqan:63).

Wanita-wanita yang memakai hijab hendaklah bersyukur atas hidayah yang
Allah telah berikan kepada mereka, tetapi tidak pula menjadikan amalan
hijabnya satu alasan untuk memandang rendah wanita lain kerana sifat
sedemikian adalah keji dan sebahagian daripada penyakit hati.

Wallahu'alam

No comments: