Thursday, July 01, 2004

PERMASALAHAN TUDUNG DAN PAKAIAN MENURUT ISLAM

Dalam hadis Rasulullah s.a.w riwayat Muslim :

"Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya: Laki-laki yang tangan mereka menggenggam cambuk yang mirip ekor sapi untuk memukuli orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang dan berlenggak lenggok. Kepalanya bergoyang-goyang bak bonggol unta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak pula mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian dan sekian."

Penerangan Hadis:

Hadis di atas adalah antara hadis-hadis yang memperincikan masalah aurat dalam syariat Islam. Istilah aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah fekah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan yang bukan mahram. Arahan menutup aurat ini adalah hasil dari keyakinan keagamaan dan ikatan syahadah yang termeterai dengan pengakuan lisan dan pengiktirafan dengan hati terhadap kebenaran agama Islam. Ia adalah hubungan yang terjalin antara manusia dengan Allah atau agama yang dianutinya. Ia lambang penyerahan diri dan persetujuan terhadap perintah Allah S.W.T. Dalam masa yang sama ia juga adalah tuntutan ibadah dan syariat Islam yang menjadi sebahagian dari anutan, amalan dan penghayatan agama. Ia bukan simbol yang tidak memberikan apa-apa fungsi apatah lagi untuk menandakan atau menunjuk-nunjuk secara provokasi keangkuhan beragama. Islam tidak pernah mengajar manusia untuk bersikap angkuh dengan pakaian. Sebaliknya melarang perbuatan yang demikian seperti mana yang diungkapkan oleh beberapa ajarannya. Pemakaian tudung atau pakaian yang menutup aurat adalah semata-mata kerana memenuhi tuntutan agama Islam yang maha suci.

Ada beberapa dalil yang menunjukkan wajibnya menutup aurat bagi wanita muslimah, antara lain :


"Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: ’Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan khumurnya (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba abdi yang mereka miliki, atau pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita,………"(an-Nur:31)


Ayat ini menegaskan empat hal:

1. Perintah untuk menahan pandangan dari yang diharamkan oleh Allah.

2. Perintah untuk menjaga kemaluan dari perbuatan yang haram.

3. Larangan untuk menampakkan perhiasan kecuali yang biasa tampak.

Para ulama mengatakan bahawa ayat ini juga menunjukkan akan haramnya menampakkan anggota badan tempat perhiasan tersebut. Sebab, jika perhiasannya saja dilarang untuk ditampakkan apalagi tempat perhiasan itu berada. Sekarang marilah kita perhatikan penafsiran para sahabat dan ulama terhadap kata “kecuali yang biasa nampak…� dalam ayat tersebut. Menurut Ibnu Umar RA. yang biasa nampak adalah wajah dan telapak tangan.

Begitu pula menurut ‘Atho,’ Imam Auzai dan Ibnu Abbas RA. Hanya saja beliau (Ibnu Abbas) menambahkan cincin dalam golongan ini. Ibnu Mas’ud RA. mengatakan maksud kata tersebut adalah pakaian dan jilbab. Said bin Jubair RA. mengatakan maksudnya adalah pakaian dan wajah. Dari penafsiran para sahabat dan para ulama ini jelaslah bahawa yang boleh tampak dari tubuh seorang wanita adalah wajah dan kedua telapak tangan. Selebihnya hanyalah pakaian luarnya saja.

4. Perintah untuk menutupkan khumur ke dada. Khumur adalah bentuk jamak dari khimar yang bererti kain penutup kepala (tudung). Ini menunjukkan bahawa kepala dan dada adalah juga termasuk aurat yang harus ditutup. Bererti tidak cukup hanya dengan menutupkan tudung pada kepala saja dan ujungnya diikatkan ke belakang. Tapi ujung tudung tersebut harus dibiarkan terjuntai menutupi dada. Penekanan untuk tidak memperlihatkan perhiasan dan aurat kepada laki-laki asing (bukan mahram) kecuali kepada orang-orang tertentu saja seperti suami, anak dan sebagainya.


"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin: ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka'. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal dan oleh kerananya mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Ahzab: 59)

Pengertian jilbab ialah :

a) Pakaian yang menutupi badan langsung dari atas sampai ke bawah.

b) Pakaian yang lebih lebar dari tudung.

c) Pakaian luar wanita seperti jubah, gamis (baju panjang).

d) Menurut Ibnu Arabi, jilbab adalah pakaian yang menutupi seluruh badan dari kepala hingga mata kaki.

e) Al-Khatib asy-Syarbini dari al-Khalil (sebagaimana yang dikutip Dr. Abdul Halim) menjelaskan bahawa setiap pakaian dalam, pakaian luar dan pakaian yang dipergunakan untuk menutupi adalah jilbab, jika yang dimaksud dengan jilbab itu adalah gamis, maka mengulurkannya itu ialah menyempurnakannya hingga menutup tubuh dan kedua kakinya.

Ayat ini menjelaskan pada kita bahawa menutup seluruh tubuh adalah kewajiban setiap wanita muslimah (mukminah) dan merupakan tanda keimanan mereka. Menutup aurat adalah salah satu dari kewajiban yang telah ditetapkan bagi muslimah, sedangkan menuntut ilmu adalah kewajiban lain yang berlaku untuk seumur hidup.

Hadis shahih ini menjelaskan bagaimana wanita yang tidak akan mencium bau syurga disebabkan kerana mereka berpakaian namun telanjang, ertinya pakaian yang mereka kenakan sempit, transperan (terlalu jarang) dan menampakkan bentuk tubuh sehingga Rasulullah s.a.w mengumpamakannya dengan ‘berpakaian namun telanjang’. Pakaian yang transperan tidak dapat memenuhi kriteria sebagai penutup aurat, kerana warna kulit masih terlihat, pakaian tersebut juga tidak boleh dipakai untuk solat, apalagi untuk keluar rumah. Al-Nawawi dalam syarahnya menjelaskan bahawa wanita yang berpakaian tetapi seperti telanjang tersebut adalah wanita yang berpakaian dengan menutupi sebahagian badannya dan membiarkan terbuka sebahagian yang lain, atau wanita yang berpakaian tipis sehingga terlihat warna kulit dan bentuk tubuhnya

Dalam hadis Hadis riwayat Aisyah Radhiyallahu 'anhu, bahawasanya Asma binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah dengan pakaian yang tipis, lantas Rasulullah berpaling darinya dan berkata,

"Hai Asma, sesungguhnya jika seorang wanita sudah mencapai usia haid (akil baligh) maka tidak ada yang layak terlihat kecuali ini," sambil beliau menunjuk wajah dan telapak tangan. (HR Abu Daud dan Baihaqi).


Hadis ini menunjukkan dua hal :

a Kewajiban menutup seluruh tubuh wanita kecuali wajah dan telapak tangan.

b Pakaian yang tipis tidak memenuhi syarat untuk menutup aurat.

Iman Syafie berpendapat; perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat 31 surah an-Nur terbahagi kepada dua makna iaitu:

1. Perhiasan yang bersifat semula jadi seperti muka, pipi mulut, mata bibir, hidung, kaki, betis, peha dan lain-lain anggota.

2. Perhiasan seperti pakaian, alat-alat solek, cincin, rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.

Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka. Ini bermakna penutupan aurat iatu adalah satu dari bentuk jaminan keselamatan yang diajukan oleh Islam untuk melindungi kepentingan wanita. Kalau dilihat dari sudut psikologi dan sosial maka pakaian menutup aurat termasuk tudung adalah selaras dengan matlamat murni untuk mengujudkan kejernihan sosial dan mengekang pengaruh rangsangan berahi seks yang jika sudah terkobar sukar dibendung, Hal ini akan menggugat maruah dan keselamatan kaum wanita. Dalam jangka panjang menggugat peradaban dan keutuhan sesebuah negara.

Dari sudut kesihatan pakaian yang menutup aurat termasuk tudung kepala lebih menjamin kesihatan diri dari debu dan kotoran persekitaran. Bagi kaum wanita yang berada di negara beriklim sederhana atau dingin maka pakaian sebegini bukan hanya merupakan keharusan bahkan amat dituntut memandangkan cuaca yang boleh memudharatkan diri mereka kalau terdedah kepada cuaca berkenaan.

Dari sudut integrasi maka dasar integrasi dalam mana-mana negara sekalipun mesti mengambil kira perkembangan kesedaran dan nilai-nilai sosial yang lebih sihat, selamat dan murni serta jitu untuk dijadikan dasar integrasi tersebut. Untuk mengamalkan budaya menggalakkan dialog, berfikir yang bebas, demokrasi dan positif. Oleh itu hujah menghormati dasar integrasi dalam sesebuah negara mungkin juga mewajibkan pakaian tersebut kepada semua wanita memandangkan kebaikan yang boleh dicapai dari sesuatu amalan sosial yang lebih positif, berfaedah serta waras. Amalan tersebut wajar dijadikan asas kepada dasar integrasi nasional dalam sesebuah negara; baik sekular mahupun bukan.

Yang lebih penting dalam hal ini ialah berfikir dengan lebih seimbang dan objektif dan tidak berat sebelah dalam melihat isu tudung dan pakaian yang menutup aurat ini. Jaminan kebebasan manusia untuk beragama perlu dipertahankan, negara tidak akan runtuh hanya kerana kaum wanitanya menutup aurat atau bertudung. Negara runtuh dengan budaya porno, serba merangsang, seks bebas, penindasan, sikap tidak bertoleraensi dan kehilangan disiplin kendiri yang dijana oleh persekitaran sosial yang mewabak.

Dari sebahagian dalil dan perbincangan yang telah diuraikan tersebut di atas kita dapat memahami bahawa menutup aurat adalah wajib. Bererti jika dilaksanakan akan menghasilkan pahala dan jika tidak dilakukan maka akan menuai dosa. Kewajiban menutup aurat ini tidak hanya berlaku pada saat solat saja namun juga pada semua tempat yang memungkinkan ada laki-laki lain dapat melihat aurat kaum wanita. Kebijaksanaan Allah dalam mewajibkan kebaikan cukup jelas dan tidak dapat ditolak oleh akal yang melihat agama sebagai suatu kejahatan.

Source: Persatuan Ulama’ Malaysia Online

No comments: