Friday, April 30, 2004
Amaran serangan balas, Kerajaan Thai kerah askar tambahan ke Yala, Pattani, Songkhla
PATTANI: Menteri Pertahanan Thailand, Chettha Thanajaro, semalam memberi amaran militan Islam akan melancarkan beberapa serangan balas selepas serangan berani mati yang mengorbankan 113 orang kelmarin.
Sehubungan itu beratus-ratus askar tambahan dikerahkan ke selatan Thailand terutama di wilayah Yala, Pattani dan Songkhla berikutan serangan sebelum subuh yang dilakukan remaja bersenjatakan parang dan beberapa senjata ringan.
Seorang lagi penyerang meninggal dunia malam kelmarin, meningkatkan jumlah penyerang yang terbunuh kepada 108 orang, walaupun pengkritik mendakwa orang awam turut terkorban.
Chettha memberitahu wartawan ramai rakan pejuang yang terbunuh masih di sekitar kawasan terbabit dan hanya menunggu masa sesuai untuk melancarkan serangan balas dendam.
Sumber tentera memberitahu agensi berita AFP, mereka meramalkan serangan kedua dilancarkan dalam lima hingga 10 hari lagi. “Kami jangka satu serangan besar-besaran di Narathiwat,� katanya.
Sementara itu, beberapa pemimpin Islam yang ditemui agensi berita AP menuduh askar dan polis bertindak ganas dalam serangan ke atas sebuah masjid lama di sini, mengorbankan 34 militan.
Mereka berkata, askar yang mengepung masjid berusia beratus-ratus tahun itu sepatutnya merundingkan penyerahan diri orang di dalamnya daripada terus menyerang mereka dengan roket, gas pemedih mata dan senjata automatik.
Setiausaha Jawatankuasa Pusat Islam Pattani, Uma Meah, berkata ramai orang percaya mereka yang ada dalam masjid itu mahu menyerah diri apabila askar menyerang.
“Jika pegawai menunggu beberapa hari ini, mereka mungkin dapat menangkap mereka hidup-hidup, tetapi tidak! Askar membunuh mereka semua,� katanya.
Walaupun kerajaan Thailand menganggap mangsa korban itu sebagai anggota militan, seorang pendakwah Islam terkemuka, Vithaya Visetrat, berkata kebanyakan mereka adalah penduduk tempatan yang pergi menunaikan solat dan terperangkap apabila sebilangan kecil militan mencari perlindungan dalam masjid itu.
“Membunuh orang di tempat suci seperti masjid, kuil atau gereja tidak dapat diterima. Saya percaya ramai penduduk yang tidak berdosa terkorban. Saya fikir ini adalah satu permulaan peperangan rakyat,� kata Vithaya.
Kerajaan Thai sudah menukarkan pegawai tentera yang mengarahkan serangan ke atas masjid itu, kata Jeneral Panlop Pinmanee kepada wartawan.
Bagaimanapun, beliau mengakui kejadian itu satu kesilapan yang sudah melukakan perasaan penduduk Islam negara itu. – Agensi