Wednesday, April 21, 2004

Fatwa Osama cetus pengeboman

PETALING JAYA 2 April - Tindakan Jemaah Islamiah (JI) melakukan siri pengeboman termasuk di Bali, Indonesia yang mengorbankan 202 orang pada Oktober 2002 adalah berdasarkan `fatwa' Osama bin Laden yang menghendaki seluruh umat Islam membalas dendam terhadap orang Amerika.

Menurut bekas anggota JI, Mohd. Nasir Abas, rakyat Malaysia yang kini ditahan di Indonesia, tindakan itu ekoran orang Amerika telah menganiaya atau melakukan pembunuhan terhadap orang awam di mana sahaja.

``Dengan itu kita boleh membalas untuk membunuh orang awam Amerika di mana sahaja mereka berada, baik mereka bersenjata ataupun tidak, mereka itu pasukan tentera ataupun orang awam,'' katanya. Mohd. Nasir, 35, mengaku bahawa fatwa Osama itu dibawa oleh Hambali (anggota JI yang ditahan di Thailand) dan Ketua Majlis Mujahidin Indonesia, Abu Bakar Bashir.

Beliau berkata atas rasional itulah, beberapa pengeboman dilakukan termasuk di pusat peranginan dan gereja di Indonesia. Mohd. Nasir mendedahkan mengenai fatwa itu dalam wawancara pada program khas Pengakuan Empat Bekas Anggota Jemaah Islamiah terbitan TV3 malam ini.

Program sejam itu dikendalikan oleh pengacara TV3 iaitu Zainal Ariffin Ismail dan Kamaruddin Mape. Ia dirakam secara eksklusif di Indonesia pada pertengahan bulan lalu. Tiga lagi bekas anggota JI yang ditemu bual ialah Jaafar Anwarul, 54, dan Amran Mansor, 40, kedua-duanya berasal dari Johor serta Shamsul Bahri Hussein, 38, dari Alor Star. Mohd. Nasir dalam pengakuannya memberitahu, kegiatan JI telah menyimpang daripada ajaran Islam malah memerangkap ahli-ahlinya untuk patuh kepada pemimpin mereka dan taksub kepada organisasi itu.

``Penyimpangan-penyimpangan tersebut itu dilakukan oleh orang Islam sendiri yang menamakan diri mereka sebagai aktivis muslim iaitu Jemaah Islamiah. ``Kalau saya perincikan, antara lain, penyimpangan itu ialah memerangkap seseorang itu untuk patuh dan taksub kepada jemaah atau organisasi dengan alasan baiah (sumpah taat setia).
``Pada hal tidak ada syariat bahawa kita harus berbaiah untuk organisasi,'' katanya.

Justeru, Mohd. Nasir yang ditahan oleh pihak Indonesia April tahun lalu menyeru kesemua ahli-ahli JI supaya menghentikan perbuatan mereka yang melanggar syariat Allah. ``Kita hentikan hal-hal yang menyebabkan umat Islam menjadi terhina dan kita harus yakin JI bukanlah yang menjamin kebahagiaan kita di akhirat,'' jelasnya.
Malah, kata Mohd. Nasir yang pernah belajar di Akademi Militeri Mujahidin Afghanistan selama tiga tahun, beliau tidak bersetuju aksi-aksi pengeboman yang membabitkan kumpulan itu.

Dalam temu bual itu, beliau memberitahu, tindakan pengeboman yang mengorbankan orang awam sangat bertentangan dan dilarang oleh Islam. Tambahnya, mangsa pengeboman di Hotel J.W. Marriott semuanya membabitkan orang Islam dan tidak ada orang bukan Islam yang terkorban. ``Antara yang melakukan itu ialah bekas murid saya, saya berasa sedih. Saya sedih dan berdosa kerana antara pengetahuan yang digunakan itu adalah datangnya daripada saya,'' katanya kesal. Bapa kepada empat orang anak itu pernah menjalani latihan ketenteraan pada 1987 dan berjihad bersama Mujahidin Afghanistan sehingga tahun 1992.

Kepakaran beliau ialah dalam bidang strategi perang dan persenjataan. Jaafar pula menegaskan, peristiwa-peristiwa pengeboman seperti di Bali pada 12 Oktober 2002 dan Hotel J.W. Marriott pada 5 Ogos 2003 sebenarnya telah mencemarkan nama baik Islam. ``Saya kecewa kerana sasaran JI ialah berperang di perbatasan seperti di Afghanistan dan bukan di tempat umum.'' ujarnya.

Jaafar mengambil kesempatan menyatakan hasratnya untuk balik ke pangkuan masyarakat menjadi seorang manusia yang boleh berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Shamsul Bahri pula tidak menyangka kumpulan JI menyimpang daripada pegangan agama seperti melakukan pengeboman. ``Saya sangat kecewa di atas apa yang telah terjadi, malah pemahaman yang bersifat kekerasan seperti ini tidak sepatutnya berlaku. ``Pemikiran seperti ini begitu mengelirukan kerana Islam agama yang cintakan damai serta kasih sayang,'' jelasnya.

Shamsul yang ditahan polis Indonesia pada 13 Ogos tahun lalu, adalah pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor dan pernah mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang robotik. Sementara itu, Amran yang pernah menghadiri pertemuan sulit bagi membincangkan cadangan meletupkan Pusat Kastam dan Imigresen di Woodlands, Singapura memberitahu, beliau sedar bahawa JI sebenarnya melalui `jalan yang keliru.'

Beliau yang juga dikenali sebagai Andi Saputra ditangkap di Pekan Solo, Jawa Tengah pada 12 Februari lalu kerana disyaki membekalkan bahan letupan dalam pengeboman Hotel J.W. Marriott, Jakarta. ``Sebenarnya saya tidak mengetahui kerana sasaran dalam operasi itu ditentukan oleh orang atasan seperti Hambali, Imam Samudera dan Muklas.
``Jadi peranan saya ialah untuk mengawal lojistik sahaja,'' jelasnya.

Pada akhir temu bual itu, Amran menasihatkan teman-teman yang masih merasakan bahawa JI itu benar, supaya mengkaji semula apakah ia sesuai mengikut al-Quran dan sunnah. ``Carilah pendapat ulama-ulama yang lain dan mereka juga tidak membenarkan kekerasan itu,'' tegasnya.

No comments: