Wednesday, April 21, 2004

Pengakuan JI bukti tindakan tepat - Najib - SMS Dari Seberang (Episode 04)

PEKAN 3 April - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan kerajaan menahan beberapa anggota Jemaah Islamiah (JI) sebelum ini ternyata mampu menangani ancaman keselamatan kumpulan berkenaan di negara ini.

``Pengakuan empat bekas anggota JI yang terbabit membuktikan tindakan tegas kerajaan Malaysia adalah satu tindakan tepat,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran Barisan Nasional (BN) Pekan, di sini tengah hari ini.

Mengulas mengenai jentera JI di negara ini, Najib berkata, ia hampir lumpuh berikutan ketegasan kerajaan menangani ancaman itu.

``Kita telah ambil tindakan tegas menahan begitu ramai ahli* mereka tetapi dalam usaha memerangi kumpulan militan seperti ini kita mesti sentiasa berwaspada kerana mereka boleh berkumpul balik dalam kumpulan lebih kecil,'' katanya.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian sebagai mengulas program khas Pengakuan Empat Bekas Anggota Jemaah Islamiah terbitan TV3 malam tadi.

Empat anggota JI warga Malaysia itu, Mohd. Nasir Abas; Jaafar Anwarul; Shamsul Bahri Hussein dan Amran Mansor kini ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai terbabit dalam siri pengeboman di negara berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, Najib berkata, kerajaan akan sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan kumpulan militan di negara ini.

Katanya, ini berikutan kemampuan kumpulan itu bergerak walaupun dalam kumpulan yang kecil.

``Mereka boleh bergerak balik dalam kumpulan yang lebih kecil dan ini boleh membawa implikasi keselamatan,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, setakat ini keadaan keselamatan dalam negara terkawal daripada ancaman kumpulan militan.

Mengenai hasrat empat anggota itu yang mahu pulang ke negara ini, Najib berkata, ia terpulang kepada pihak polis untuk membuat penilaian.

``Sekiranya mereka merupakan ancaman kepada keselamatan, pihak polis akan ambil tindakan sewajarnya,'' katanya.

* Termasuk lah insan2 yang tak bersalah dan takkan di buktikan bersalah di bawah I.S.A... ikut suka kaulah labu.

No comments: