Mengikut takwim Islam, semalam 27 Rejab disepakati ramai ulama’ muktabar telah berlakunya peristiwa Israk dan Mi’raj kepada Nabi Muhammad saw. Teringat jika di tanahair pastinya di hari ini dan beberapa hari yang akan datang, adalah majlis-majlis ilmu, ceramah dan pelbagai program yang berkaitan Israk dan Mi’raj. Bermula dari sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi, media cetak dan elektronik hinggalah ke surau-surau dan masjid. Ustaz-ustaz dan penceramah bakal dijemput memberi tazkirah berkenaan mukjizat agung Rasulullah ini. Ada juga yang berkenduri dan berjamuan menyambut ketibaannya saban tahun. Penuhlah dengan program di sana sini berkenaan Israk dan Mi’raj. Pengisiannya Alhamdulillah, tapi penghayatannya Wallahu’alam.
Berbanding di sini tak pula dengar adanya apa-apa aktiviti dan program, baik di Islamic Center atau kat Preston mosque. Mungkin di musollah Turki berdekatan ni ada anjurkan sesuatu malam tadi. When I’m draft this posting ada juga terdengar something from their loud speaker. Tapi, maaflah masih belum pandai berbahasa Turkey. So tak berapa faham. Ada juga hajat nak menjenguk ke Monash atau U Melbourne bertanyakan hal. Ntahlah kemungkinan info sajer yang tak sampai. Takkanlah pula muslim community kat sini dah tak aware on this right. Baiklah, di waktu yang terluang ini dititipkan sedikit catatan mengenai peristiwa Mukjizat Israk dan Mi’raj buat renungan bersama.
ISRAK DAN MI’RAJ SEBAGAI SATU MUKJIZAT
Apa yang dimaksudkan dengan Israk ialah perjalanan yang mulia lagi bersejarah dari Masjid Al-Haram ke Msjid Al-Aqsa di Quds di Palestine. Manakala mi’raj pula ialah peristiwa naik ke lapisan langit yang tertinggi di mana Nabi Muhammad SAW telah bertemu Allah SWT. Kesemuanya itu berlaku dalam semalam sahaja.
Ahli sejarah Islam berselisih pendapat mengenai tarikh yang tepat berlakunya Israk dan Mi’raj. Ada yang mengatakan ianya berlaku pada tahun kesepuluh selepas perlantikan baginda sebagai Rasul. Manakala Ibnu Sa’ad di dalam kitabnya Al-Tabakat Al-Kubra menyatakan bahawa mukjizat tersebut berlaku lapan belas bulan sebelum baginda berhijrah ke Madinah.
Terdapat persoalan lain yang di timbulkan iaitu adakah perjalanan Rasulullah saw itu dengan rohnya sahaja ataupun roh dan jasadnya sekali? Pendapat jumhur muslimin ialah roh beserta jasadnya sekali dengan itulah dikatakan mukjizat yang telah dikurniakan kepada Rasulullah SAW.
Mengenai kisah Israk dan Mi’raj Rasulullah ini, ia debentangkan oleh Bukhari dan Muslim secara lengkap. Di malam yang bersejarah ini, Rasulullah SAW telah menunggang “Buraq� yang bewarna putih iaitu sejenis binatang besar sedikit daripada keldai dan kecil sedikit daripada baghal. Binatang ini melangkah kakinya sejauh mata memandang. Setelah baginda sampai dan masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa serta menunaikan solat dua rakaat, Jibrail membawa kepada baginda dua biji gelas, satu berisi arak dan yang satu lagi berisi susu. Rasulullah SAW memilih susu, lalu Jibrail pun berkata “Engkau telah memilih yang fitrah.� Setelah itu barulah Rasulullah SAW naik ke langit yang pertama, kedua, ketiga dan seterusnya ke “Sidratul Muntaha� dan di situlah Allah SWT menyampaikan kepada baginda kewajipan solat lima waktu sehari semalam ke atas tiap-tiap muslim lelaki dan perempuan yang mana pada mulanya diwajibkan lima puluh rakaat sehari semalam.
Pada keesokan paginya, baginda menceritakan segala-galanya dan apa yang ternampak oleh mata kepalanya kepada umum. Cerita daripada Rasulullah SAW menyebabkan semua orang musyrikin bergelak ketawa dan membawa berita yang pelik serta melucukan pada mereka itu kepada yang lain pula untuk diketawakan. Disamping itu, terdapat di antara mereka yang mencabar Rasulullah SAW dengan meminta supaya menceritakan dan membuat satu gambaran tentang Baitul Maqdis yang telah dilihat oleh Rasulullah SAW kalaulah betul baginda telah pergi dan bersolat di dalamnya. Sebenarnya untuk membuat gambaran itu amatlah sukar kerana pada masa itu tidak terlintas di ruang kepala dan ingatan Baginda untuk meneliti sehalusnya berapa tiang, berapa pintu dan sebagainya. Walau begitu Allah SWT telah menampakan di mata kasar Rasulullah gambar dan pemandangan Baitul Maqdis scara terperinci dengan tiga sudutnya. Ini menyebabkan Rasulullah SAW dapat menjawab pertanyaan yang dikemukakan kepada baginda dan dengan itu juga baginda dapat menyahut cabaran mereka tadi dengan memberi jawapan yang lengkapbagi segala pertanyaan mereka. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis Rasulullah SAW, sabdanya: “Pihak Quraisy telah mendustakan segala percakapanku, kemudian aku pun bangun ke Hijir. Selepas itu Allah pun menampakkan kepadaku Baitul Maqdis. Ini membolehkan aku menceritakan segala-galanya tentang tempat-tempat dan tanda-tanda keistimewaan pemandangan Baitul Maqdis yang dipaparkan oleh Allah SWT.�
Beberapa orang musyrikin yang telah mendengar cerita Israk dan Mi’raj itu berkejar menemui Saidina Abu Bakar dan menceritakan perihal Nabi Muhammad SAW yang dikatakan telah pergi ke Baitul Maqdis dan naik ke langit dengan harapan Saidina Abu Bakar terperanjat dan kebingungan, tetapi dengan tenang Saidina Abu Bakar menjawab: “Sekiranya itu yang diceritakan oleh baginda maka semuanya adalah benar belaka. Sebenarnya aku telah mempercayai Muhammad tentang perkara-perkara yang lain lebih daripada itu.�
Pada subuh pagi hari Israk itu, Jibrail telah datang dan mengajar Nabi Muhammad SAW cara-cara, rukun-rukun dan segala sesuatu mengenai fardhu solat dan waktu-waktunya. Sedangkan Rasulullah SAW sebelum diturunkan perintah solat itu kepadanya, baginda bersolat dua raka’at pada waktu pagi dan dua raka’at pada waktu petang seperti mana dalam syari’at Nabi Ibrahim a.s.
KAITAN BAITUL MAQDIS DENGAN PERISTIWA ISRAK DAN MI’RAJ
Antara salah satu sebab mengapa pihak Zionist “Israel� beriya-iya mendakwa bahawa umat Islam tidak berhak keatas Baitul Maqdis yang menempatkan masjid Al-Aqsa, kerana kononnya bagi mereka Nabi Muhammad SAW tidak pernah pun ke situ. Mereka mendakwa, bagaimana sesebuah tempat itu boleh dikatakan antara tempat suci umat Islam sedangkan Nabi sendiri tidak pernah menjejakkan kakinya ke Al-Aqsa. Ternyata musuh-musuh Islam ini cuba memesongkan fakta sebenar serta mendustakan kisah Israk dan Mi’raj demi kepentingan mereka.
Jika hendak mengisahkan mengenai Israk Mi’raj keseluruhannya, kemungkinan ianya agak panjang untuk dinukilkan di sini. Mungkin kita semua telahpun beberapa kali mendengar mengenainya. Apa yang ingin dikemukakan kali ini ialah kaitan Baitul Maqdis yang kini terjajah oleh pihak Zionist “Israel� dengan peristiwa yang bersejarah itu serta hikmah yang dapat dicungkil di sebaliknya.
Antara hikmah sepertimana yang dinyatakan oleh Al-Bouti, ia memperlihatkan bahawa Baitul Maqdis bukanlah satu tempat biasa tetapi ia adalah tempat qudus dan suci di sisi Allah dan memperlihatkan bahawa di sana tersemat satu pertalian erat di antara perutusan Isa bin Maryam a.s dengan risalah Rasulullah SAW, bahkan wujudnya satu pertalian dan hubungan yang rapat dan erat di antara para nabi seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka ke alam ini.
Peristiwa itu juga memberi satu isyarat bahawa Baitul Maqdis adalah Tanah Suci yang mesti dipelihara keselamatan dan kehormatannya serta dijaga daripada sebarang pencerobohan dari luar dan dalam. Inilah hikmah Ilahi yang seolah-olah telah memberi amaran agar setiap muslim tidak akan membelakangkan masalah Baitul Maqdis yang telah dinodai oleh tangan-tangan Zionis dan meminta daripda setiap muslim supaya membersihkan tanah ini dari noda pencemaran yang melandanya.
Faktor tersebut telah difahami bersungguh-sungguh oleh Salahudin Al-Ayubi. Itulah yang mendorong belia bangun menyeru kaum muslimin menentang dan menghalau tentera salib yang durjana serta menyingkirkan mereka pulang ke Eropah semula bersama pelbagai kegagalan dan kehinaan
Perlu diingatkan di sini bahawa terdapat beberapa buah tempat yang disinggahi oleh Rasulullah SAW dalam perjalanan (Israk) ke Baitul Maqdis itu. Ia juga memberi satu gambaran betapa pentingnya tempat-tempat tersebut kepada agama Islam. Berdasarkan riwayat-riwayat mengenai Israk dan Mi’raj, tempat-tempat yang dimaksudkan adalah seperti berikut.
1. Yastrib: Ia adalah tempat pertama yang disinggahi oleh Rasulullah SAW. Ia membayangkan bahawa tempat tersebut akan menjadi satu tempat penting bagi baginda suatu hari nanti. Memang benar bahawa Yastrib yang kemudiannya ditukarkan namanya kepada “Al-Madinah Al-Munawarah� yang beerti bandar bercahaya adalah tempat penghijrahan baginda dan menjadi pusat perjuangannya untuk menegakkan syari’at Islam sebgai agama yang terakhir kepada seluruh umat manusia di seluruh dunia
2. Madyan: Ia adalah tempat kedua yang disinggahi oleh Rasulullah SAW. Nilai kemuliaan tempat tersebut kerana ia adalah tempat Nabi Syu’aib a.s dan Nabi Musa a.s mengajar ajaran Tauhid kepada umatnya. Kedudukannya berhampiran berhampiran dengan teluk Aqabah (sekarang termasuk di dalam Negara Jordan). Sepertimana baginda mengerjakan solat dua rakaat ketika berhenti di Yastrib, baginda juga mengerjakan solat dua raka’at ketika berhenti di Madyan.
3. Thur Sina atau dikenali juga dengan Jabal Musa: Ialah adalah tempat ketiga yang disinggahi oleh Rasulullah SAW. Kemulian tempat ini kerana ia adalah tempat Nabi Musa a.s menerima wahyudan berdialog dengan Allah secara terus sehingga baginda dikenali dengan gelaran “Kalimullah�. Gunung Sina terletak di daerah semenanjung Sinai (di dalam wilayah Mesir sekarang ini). Di sekitar gunung itu juga berlaku penyelewengan aqidah di kalangan pengikut Nabi Musa sehingga mereka mendapat laknat daripada Allah.
4. Baitullaham atau Bethlehem: Ia adalah tempat keempat. Kemuliaan tempat tersebut kerana ia adalah tempat di mana Maryam melahirkan Isa a.s. Di tempat ini dikatakan masih ada bekas pohon kurmayang menjadi tempat Maryam berteduh dan berpaut ketika merasa kesakitan di atas kandungannya. Di sini beliau mendapat minuman dan makanan dengan Qudrat Allah SWT.
5. Tempat kelima dan terakhir sebagai destinasi perjalanan Israk ialah Masjid Al-Aqsa. Apabila baginda sampai di situ, baginda menambatkan buraq di tempat tambatan para nabi, lalu baginda memasuki kawasan masjid melalui salah satu daripada pintu-pintunya. Di Masjid Al-Aqsa, baginda mengerjakan solat sebanyak dua raka’at. Tidak berapa jauh dari tempat itu terdapat sebuah batu besar berbentuk bulat yang luasnya 56 x 42 kaki yang dinamakan “Al-Sakhrah�. Di atas batu inilah menurut sebahagian besar ulama, Rasulullah SAW dimi’rajkan ke langit sehingga sampai ke Sidratul Muntaha, batas terakhir yang dapat dicapai oleh makhluk Allah.
RAHSIA BERLAKUNYA ISRAK DAN MI’RAJ KETIKA RASULULLAH SEDANG MENGALAMI UJIAN DAN CUBAAN YANG BERAT:
Dalam menyampaikan risalah yang diperintahkan oleh Allah, pelbagai ujian yang dirasai oleh Rasulullah SAW daripada pihak Quraisy dan yang paling berat dialami baginda ialah penghinaan masyarakat Thaif. Berdetik dalam hati baginda dan terbayang kegelisahan, apakah ujian dan cubaan itu kerana suatu kemurkaan daripada Allah lantaran melanggar perintahNya.
Selepas itu disusuli dengan peristiwa Israk dan Mi’raj yang mana peristiwa tersebut adalah satu kurniaan Allah kepada RasulNya Muhammad SAW demi untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala ujian yang dihadapi oleh baginda itu bukanlah satu angkara murka daripada Allah dan dasar Ilahi dengan manusia tercinta, bahkan demikian juga adalah sunnah dan tradisi dakwah Islamiyah pada setiap waktu dan ketika.
KEADAAN MASJID AL-AQSA PADA WAKTU ITU:
Ramai umat Islam yang telah salah faham mengenai Masjid Al-Aqsa pada ketika itu. Pada anggapan mereka masjid Al-Aqsa bertiang dan beratap seperti masjid ketika ini.
Sebenarnya, masjid tersebut dinamakan Al-Aqsa yang beerti “paling hujung� kerana ia adalah masjid yang paling jauh unutk di ziarahi. Dikatakan juga kerana jauhnya jarak di antaranya dengan Masjid Al-Haram di Makkah. Ia dinamakan masjid kerana ia pernah dijadikan sebagai tenpat ibadah oleh para nabi terdahulu. Diriwayatkan dalam hadis bahawa setiap jengkal daripada Tanah Suci Baitul Maqdis adalah tempat solah para nabi dan rasul terdahulu.
Masjid Al-Aqsa adalah masjid yang kedua dibina diatas muka bumi ini setelah Masjid Al-Haram di Makkah seperti yang dinyatakan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Pembinaan pertamanya dilakukan oleh Nabi Yaakub a.s yang kemudian disempurnakan oleh cucu-cicitnya, iaitu Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s. Beberapa lama, ianya telah runtuh atau dirobohkan setelah pemerintahan Baitul Maqdis bertukar tangan diantara beberapa bangsa.
Masjid Al-Aqsa yang wujud hingga ke hari ini adalah masjid yang asalnya mula dibangunkan oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan Al-Umawi pada tahun 66 H dan siap pada tahun 73 H yang kemudiannya dinamakan Masjid Al-Aqsa sempena nama yang disebut di dalam Al-Quran Al-Karim dalam surah Al-Israk. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa yang dimaksudkan dengan Masjid Al-Aqsa ialah keseluruhan Al-Haram Al-Syariff, maka sebutan Masjid Al-Aqsa pada masjid yang ada sehingga ke hari ini adalah istilah baru, bukannya seperti yang dimaksud di dalam Al-Quran Al-Karim.
Rujukan:
Muhammad Fadhli Ismail, Rahsia Kota Baitul Maqdis & Masjid Al-Aqsa, Darul Nu’man 2002.
1 comment:
ass,
kok beritanya ga pernah update?
Post a Comment